Sunday, April 22, 2012

Cara Membezakan Madu Asli and Palsu


Madu asli atau palsu? Itulah persoalan yang kerap ditanya setiap kali didekati penjual madu di jalanan.

Pada hakikatnya, madu palsu memang wujud di pasaran hari ini (mungkin disebabkan harga tinggi untuk sesetengah jenis madu seperti madu sidr yaman). Malah, ada yang percaya 80% madu yang berada di pasaran adalah madu palsu!
Bagi mereka yang yakin akan khasiat madu dan mengamalkan pengambilan madu, perkara yang paling sukar ialah untuk mendapatkan bekalan madu yang asli dan berkualiti. Tertipu duit mungkin perkara kecil, yang lebih penting adalah kesihatan diri dan keluarga tidak terjamin dan boleh memudaratkan badan.
Jadi, pengetahuan dan pengalaman dalam cara membezakan madu asli dan palsu amat penting. Bagi madu asli pula, anda boleh menggunakan cara-cara di bawah untuk memastikan tahap keaslian dan kualitinya.
  • Madu asli tidak mengeras di dalam peti sejuk. Madu yang mengeras apabila disejukkan bukanlah semestinya palsu, tetapi ini menunjukkan kandungan air yang tinggi dan kurang berkualiti. Madu asli juga kadang-kala mempunyai kandungan air disebabkan keadaan cuaca dan proses pembungkusan.
  • Madu asli tidak akan dihurungi semut. Pelik, tetapi benar! Madu adalah satu-satunya makanan manis yang tidak disukai oleh semut. Hanya madu palsu yang mengandungi gula pemanis akan dimakan semut.
  • Madu asli akan mengumpal di dalam air. Sesudu madu asli yang dituangkan di dalam air (tanpa dikacau) akan mengumpal dan jatuh di dasar air. Madu palsu akan bercampur dengan air (sebanyak mana bergantung kepada kandungan air di dalamnya).
  • Madu asli tidak putus bila ditarik. Madu asli yang ditarik tinggi hanya akan membentuk alur yang halus apabila mengalir turun dan tidak putus. Madu palsu (atau madu asli yang mempunyai kandungan air yang tinggi) akan putus-putus pengalirannya.
  • Madu putih selalunya palsu. Madu putih yang selalunya dikatakan royal jelly oleh penjual jalanan biasanya adalah palsu. Pertama, royal jelly biasanya hanya diperoleh dalam kuantiti yang sangat sedikit dan jarang memenuhi satu botol (seperti botol-botol yang dijual di jalanan). Bayangkan, produk yang mengandungi royal jelly beberapa gram sudah mencecah ratusan ringgit. Kedua, royal jelly perlu sentiasa disejukkan kerana khasiatnya sensitif kepada suhu. Oleh itu, royal jelly tidak sesuai dijual di jalanan.
  • Madu asli mempunyai sijil ketulenan. Ini mungkin bukan cara yang terbaik untuk mengenalpasti ketulenan madu, tetapi jika anda biasa membeli madu di pasar raya, pilihlah madu yang mempunyai sijil seperti Kosher, Organik, UMR® (untuk madu manuka sahaja) dan Halal.
  • Madu asli akan menyebabkan kuning telur masak dengan sendirinya. Cara ini seumpama lagenda kerana tidak ramai yang berjaya menggunakannya, walaupun dengan madu asli. Ini kerana hanya madu yang benar-benar segar mengandungi enzim-enzim aktif yang ‘memasak’ kuning telur. Sekiranya anda mendapat madu yang boleh ‘memasak’ kuning telur, madu tersebut adalah benar-benar berkualiti dan segar!
  • Madu asli mempunyai komposisi gula tertentu. Cara yang paling tepat untuk membezakan madu asli dan palsu adalah dengan menjalankan ujian makmal. Madu asli dan tulen mempunyai nisbah komposisi glukosa dan fruktosa antara 0.30 – 1.35 sahaja. Madu palsu sukar untuk menyamai nisbah ini.

Monday, April 16, 2012

Kelebihan Madu Yaman


Kualiti yang Tinggi 

Pemelihara lebah di Yaman sangat menitik beratkan keaslian dan kualiti madu yang dihasilkan sehingga sanggup membiarkan lebahnya mati daripada diberi makan gula. Kebiasaannya, lebah biasa akan membuat 37,000 perjalanan hanya untuk menghasilkan setengah kilogram madu tetapi lebah yang hanya makan nektar bunga Sidr di Yaman mati setelah membuat 3 perjalanan! Lebah yang lemah tidak mampu bertahan dengan kualiti nektar pokok ini. 


Mentah dan Tulin 

Di Yaman, cara memelihara lebah masih lagi menggunakan cara tradisional. Tiada bahan kimia atau ubat-ubatan yang digunakan (dalam agrikultur moden, bahan kimia dan antibiotik digunakan secara meluas untuk mengawal kutu dan penyakit lebah yang lain). Tiada mesin yang digunakan. Semua proses hanya menggunakan tangan, asap dari kulit unta kering dan pisau. Madu kemudiannya dituang mentah tanpa dipanaskan ke dalam bekas untuk memelihara kandungan enzim penting di dalamnya. 



Perubatan 

Setiap titisan madu mengandungi sumber kehidupan. Generasi sebelum kita memahami kuasa penyembuhan madu dan menggunakannya untuk mengubati kebanyakan penyakit. Madu Yaman dilaporkan baik untuk masalah hati, ulser perut, jangkitan pernafasan, penyakit dari kekurangan zat makanan, masalah pencernaan, sembelit, penyakit mata, jangkitan pada luka dan kulit terbakar, luka pembedahan (termasuk Caesarian), menggalakkan penyembuhan selepas kelahiran, membantu melancarkan haid dan memelihara kesihatan secara umum. 

Diriwayatkan oleh Abu Sa'id al-Khudri r.a: "Seorang lelaki datang kepada Nabi Muhammad s.a.w lalu berkata: 'Sesungguhnya saudaraku sakit perut(cirit-birit)'. Rasulullah s.a.w bersabda: 'Berilah dia minuman madu'. Kemudian, dia memberi saudaranya minum madu. Lalu dia datang semula dan berkata: 'Saya telah pun memberi minum dia dengan madu tetapi penyakit bukan berkurangan melainkan bertambah.' Rasulullah s.a.w menyuruhnya agar meneruskan meminum air madu sehingga tiga kali lagi. Kemudian, lelaki itu datang sekali lagi. Rasulullah s.a.w masih menyuruhnya meneruskan meminum air madu tetapi lelaki itu menjawab,'Saya telah memberinya minuman madu tetapi sakitnya masih bertambah.' Lalu Rasullullah s.a.w berkata:'Allah benar dan perut saudaramu itu yang berbohong.' Kemudian Rasulullah s.a.w sendiri memberi minum madu kepada lelaki tersebut dan akhirnya sembuh." 

Antioksida 

Sesetengah madu dilaporkan mempunyai setinggi 75-150mg ascorbic asid (vit. C) per 100g dan lain-lainnya kurang dari 5mg per 100g. Antioksida penting untuk melawan kerosakan pada badan yang disebabkan oleh radikal bebas yang bertanggungjawab terhadap proses penuaan dan penyakit seperti kanser dan penyakit arteri. Kajian menunjukkan madu yang gelap mempunyai kandungan antioksida yang lebih tinggi daripada madu yang cerah. 



Antibakteria 

Dunia perubatan sedang mengkaji keberkesanan madu sebagai terapi alternatif dalam bidang dimana pertumbuhan bacteria-tahan-antibiotik sedang meningkat. Madu berbeza dalam potensinya sebagai antibakteria hingga mempengaruhi keupayaannya merawat bakteria. Sesetengah madu tiada kelebihan sebagai antibakteria manakala sesetengahnya boleh dicairkan sehingga 100 kali dan masih mampu menghalang pertumbuhan bakteria. 



Sangat Bernilai 

Madu Yaman mempunyai permintaan yang tinggi terutamanya disebabkan oleh kuasa penyembuhan dan khasiatnya yang tinggi. Ada yang sanggup membayar sehingga USD200 (RM600) sekilogram madu apabila bekalan madu berkurangan.






Maklumat lanjut sila kunjungi kami di Facebook  eL Husaini Honey.

Thursday, April 12, 2012

Jenis-Jenis Madu

MADU SIDR Yaman

Madu Sidr merupakan madu daripada Negara Yemen yang termahal di dunia. Khasiat madu sidr dikatakan yang paling tinggi nilainya dan juga mempunyai nilai perubatan yang tinggi.
Madu sidr dihasilkan di Pergunungan Hadramaut, Semenanjung Arab yang masih bebas daripada pencemaran. Lebah madu sidr mengambil nektar dari pokok sidr sahaja (monoflora). Pokok sidr di Yemen dipercayai adalah pokok yang tertua di dunia. Hampir semua bahagian pokok ini digunakan oleh masyarakat tempatan untuk tujuan kesihatan kerana mempunyai khasiat yang tinggi.
Oleh itu, madu sidr yang berasal daripada pokok sidr juga mempunyai nilai khasiat dan perubatan yang lebih tinggi berbanding jenis-jenis madu lain. Madu sidr amat mujarab untuk menyembuhkan penyakit hati, penghadaman dan pernafasan, menaikkan prestasi batin dan sebagai anti-oksida dan anti-bakteria yang berkesan.

MADU TUALANG

Madu Tualang merupakan madu lebah yang diambil dari pokok tualang hutan. Pokok tualang selalunya tumbuh tinggi di dalam hutan tebal.
Madu Tualang dipercayai terhasil oleh lebah madu di dalam hutan yang mengambil nektar dari pelbagai bunga-bunga hutan (poliflora). Itulah sebabnya ramai yang mempercayai madu ini mempunyai nilai khasiat yang tinggi berbanding madu biasa yang lain.
Tambahan pula, sarang lebah madu tualang sukar dijumpai kerana pengutip madu lebah perlu meneroka jauh ke dalam hutan. Sesudah dijumpai, sarang lebah selalunya hinggap di dahan pokok tualang yang tinggi. Kesukaran menuai madu tualang menjadikan madu ini mendapat permintaan ramai dan boleh mencecah harga yang tinggi di pasaran.

MADU RATU (ROYAL JELLY)

Madu Ratu (Royal Jelly), juga dikenali Susu Lebah (atau kadang-kala dipanggil Madu Putih oleh penjual jalanan) kerana warnanya yang putih kekuningan menyerupai warna susu. Madu jenis ini adalah antara yang paling sukar didapati dan biasanya hanya diperolehi dalam kuantiti yang sedikit (sehingga beberapa ratus gram sahaja).
Madu ratu adalah madu yang dimakan oleh ratu sarang lebah. Ratu sarang lebah mempunyai saiz yang lebih besar, hayat yang lebih panjang dan juga satu-satunya lebah yang boleh reproduksi. Atas sebab-sebah inilah ramai yang mempercayai bahawa madu ratu boleh mendatangkan kesan yang sama ke atas manusia.
Walau bagaimanapun, madu ratu sangat sensitif kepada suhu dan tidak tahan lama. Oleh itu, penghasilan madu ini untuk kegunaan manusia perlu dilakukan secara segar dan biasanya disejukkan.

MADU PROPOLIS

Madu Propolis bukanlah madu sebenar dari bunga, tetapi terhasil daripada pengambilan nektar pokok. Nektar ini dihasilkan oleh pokok untuk melindungi kulit pokok dan juga digunakan oleh lebah untuk melindungi sarang mereka. Jadi, tidak hairanlah propolis bermaksud ‘pelindung bandar’ dalam bahasa Greek.
Madu propolis kaya dengan antibiotik flavonoid dan pengambilannya boleh meningkatan daya tahan penyakit.
Terdapat 2 jenis madu propolis – hijau dan perang. Madu propolis hijau lazimnya didapati di Brazil.

MADU MANUKA

Madu Manuka merupakan madu yang dimpot daripada New Zealand. Madu Manuka terhasil oleh madu lebah yang hidup berhampiran pokok manuka (Leptospermum scoparium), di kawasan luar bandar New Zealand yang mempunyai udara yang bersih.
Oleh itu, madu lebah manuka mengambil nektar dari satu jenis bunga sahaja (monoflora). Madu ini ada yang dihasilkan secara liar dan ada yang dihasilkan oleh lebah ternak.
Madu ini popular di pasaran antarabangsa kerana kandungan bahan anti-bakteria yang tinggi. Bahan anti-bakteria ini dipanggil Unique Manuka Factor (UMF) dan produk madu manuka diukur mengikut kadar kandungan bahan tersebut. UMF 10 hingga 16 adalah kadar yang disarankan bagi madu manuka yang berkesan untuk kegunaan merawat penyakit. Sila rujuk laman Unique Manuka Factor® Honey Association untuk maklumat lanjut.

MADU KELULUT

Madu Kelulut dihasilkan oleh lebah kelulut – sejenis lebah yang bersaiz kecil (sebesar saiz lalat). Sarang lebah kelulut selalunya dijumpai di akar-akar atau tunggul pokok berhampiran permukaan tanah (tidak seperti sarang lebah biasa di atas pokok).
Sarang lebah kelulut
Madu kelulut warnanya lebih jernih berbanding madu hutan biasa dan rasanya manis bercampur sedikit masam. Kuantiti yang diperoleh daripada penuaian setiap sarang juga lebih kecil berbanding sarang lebah biasa – biasanya kurang daripada sebotol. Kebanyakan madu kelulut merupakan hasil hutan terutamanya dari Malaysia dan Indonesia.
Khasiat madu kelulut termasuklah meningkatkan metabolisme badan, menambahkan tenaga batin, menjaga kecantikan, menguatkan wanita yang baru bersalin dan merawati pelbagai penyakit dan kecederaan dalaman.

Wednesday, April 11, 2012

Khasiat Madu Lebah

Khasiat madu lebah tidak diketahui ramai walaupun sering dibincangkan dalam topik kesihatan semasa. Artikel di laman ini akan menerangkan khasiat madu lebah secara terperinci dari pelbagai aspek.
Khasiat madu boleh dikategorikan mengikut fungsinya terhadap sistem badan kita.
Kulit, Rambut dan Mata

  • Menjadikan rambut and mata lebih sihat dan bersinar.
  • Membantu penglihatan supaya lebih terang dan jelas.
  • Mempercepatkan proses penyembuhan kecederaan kulit apabila disapukan dan melindungi daripada jangkitan kuman.
  • Menjadikan kulit lebih sihat, halus dan kelihatan lebih muda. Lupakan saja pil-pil kecantikan, kerana tabiat pengambilan madu boleh mencapai kesan kecantikan secara semula jadi tanpa memudaratkan badan.

Sistem Penghadaman

  • Menguatkan sistem penghadaman dan daya tahan terhadap keracunan makanan.
  • Memudahkan pergerakan usus semasa membuang air.

Sistem Pernafasan dan Kerongkong

  • Mujarab untuk melegakan batuk yang berpanjangan.
  • Menguatkan pernafasan dan mengurangkan asma atau lelah.

Tenaga Badan

  • Menguatkan badan wanita mengandung. Tidak seperti sesetengah ubat-ubatan yang tidak boleh diambil ketika mengandung, madu adalah makanan tenaga semula jadi yang sesuai untuk ibu mengandung
  • Sumber gula alternatif yang semula jadi untuk pesakit buah pinggang dan kencing manis. Penggunaan madu berterusan boleh mengawal kandungan gula dalam darah.
  • Mengembalikan tenaga selepas kedatangan haid atau selepas cirit-birit yang berterusan.
  • Memberi tenaga sepanjang hari dan mengurangkan pengambilan lemak.

Gizi Makanan

  • Kaya dengan zat mineral dan gula semula jadi yang mudah dihadam.
  • Memudahkan serapan kalsium dalam badan.
  • Pelawas semulajadi yang sesuai untuk apa jua keadaan
Khasiat madu jika dilihat di atas sememangnya seratus satu. Sebagai makanan, penawar ataupun suplemen kesihatan, madu boleh membawa manfaat kepada sesiapa jua.