Wednesday, September 25, 2013

Kotak koloni bawa misi selamatkan lebah

Usaha sedang dilakukan untuk menyelamatkan lebah daripada kepupusan.

Memahami peranan lebah dalam pertanian, alam sekitar dan dalam kehidupan manusia, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kini dalam misi menyelamatkan lebah daripada kepupusan.

Ia mengusahakan program penternakan semula jadi dengan mengintegrasikan penternakan lebah, dengan bantuan pakar lebah dari India.

NONEPresiden CAP S. M. Mohamed Idris (kanan) berkata persatuan itu meminta bantuan P. Kaliyamurthi yang berjaya menempatkan kotak-kotak dengan koloni lebah di ladang di Balik Pulau, Bukit Mertajam dan Sungai Petani.

Katanya Kaliyamurthi terkejut apabila beliau gagal menemui sebarang sarang lebah di beberapa kawasan di Pulau Pinang, Kedah dan Perak, manakala pencarian sarang lebah semulajadi beberapa minggu lepas berakhir dengan penemuan hanya tiga sarang lebah.

"Seorang petani di Balik Pulau berkata penggunaan racun serangga dan racun rumpai secara berlebihan merupakan antara sebab sarang lebah berkurangan di kawasannya.

"Lebah yang hinggap di bunga yang disembur dengan racun serangga membawa madu bunga ke koloninya. Dengan itu seluruh koloni akan terkena racun.

Sehubungan itu dalam tempoh 20 tahun lepas, terdapat pengurangan ketara sarang lebah," katanya pada sidang akhbar di George Town semalam.

Mohamed Idris berkata kurang pengetahuan mengenai lebah merupakan satu lagi faktor bagi kepupusan lebah.

Beliau berkata satu set kotak lebah boleh mengeluarkan kira-kira 1.5 liter madu dalam dua bulan.



"Kaedah ini memastikan koloni lebah kekal dalam kotak sama untuk penyimpanan madu seterusnya, tidak sepertimana kaedah sekarang iaitu seluruh koloni terbang ke tempat lain," katanya.

Katanya mereka yang berminat menempatkan kotak lebah di kawasan mereka boleh menghubungi CAP untuk panduan dan khidmat nasihat.

- Bernama