Madu asli atau palsu? Itulah persoalan yang kerap ditanya setiap kali didekati penjual madu di jalanan.
Pada hakikatnya, madu palsu memang wujud di pasaran hari ini (mungkin disebabkan harga tinggi untuk sesetengah jenis madu seperti madu sidr yaman). Malah, ada yang percaya 80% madu yang berada di pasaran adalah madu palsu!
Bagi mereka yang yakin akan khasiat madu dan mengamalkan pengambilan madu, perkara yang paling sukar ialah untuk mendapatkan bekalan madu yang asli dan berkualiti. Tertipu duit mungkin perkara kecil, yang lebih penting adalah kesihatan diri dan keluarga tidak terjamin dan boleh memudaratkan badan.
Jadi, pengetahuan dan pengalaman dalam cara membezakan madu asli dan palsu amat penting. Bagi madu asli pula, anda boleh menggunakan cara-cara di bawah untuk memastikan tahap keaslian dan kualitinya.
- Madu asli tidak mengeras di dalam peti sejuk. Madu yang mengeras apabila disejukkan bukanlah semestinya palsu, tetapi ini menunjukkan kandungan air yang tinggi dan kurang berkualiti. Madu asli juga kadang-kala mempunyai kandungan air disebabkan keadaan cuaca dan proses pembungkusan.
- Madu asli tidak akan dihurungi semut. Pelik, tetapi benar! Madu adalah satu-satunya makanan manis yang tidak disukai oleh semut. Hanya madu palsu yang mengandungi gula pemanis akan dimakan semut.
- Madu asli akan mengumpal di dalam air. Sesudu madu asli yang dituangkan di dalam air (tanpa dikacau) akan mengumpal dan jatuh di dasar air. Madu palsu akan bercampur dengan air (sebanyak mana bergantung kepada kandungan air di dalamnya).
- Madu asli tidak putus bila ditarik. Madu asli yang ditarik tinggi hanya akan membentuk alur yang halus apabila mengalir turun dan tidak putus. Madu palsu (atau madu asli yang mempunyai kandungan air yang tinggi) akan putus-putus pengalirannya.
- Madu putih selalunya palsu. Madu putih yang selalunya dikatakan royal jelly oleh penjual jalanan biasanya adalah palsu. Pertama, royal jelly biasanya hanya diperoleh dalam kuantiti yang sangat sedikit dan jarang memenuhi satu botol (seperti botol-botol yang dijual di jalanan). Bayangkan, produk yang mengandungi royal jelly beberapa gram sudah mencecah ratusan ringgit. Kedua, royal jelly perlu sentiasa disejukkan kerana khasiatnya sensitif kepada suhu. Oleh itu, royal jelly tidak sesuai dijual di jalanan.
- Madu asli mempunyai sijil ketulenan. Ini mungkin bukan cara yang terbaik untuk mengenalpasti ketulenan madu, tetapi jika anda biasa membeli madu di pasar raya, pilihlah madu yang mempunyai sijil seperti Kosher, Organik, UMR® (untuk madu manuka sahaja) dan Halal.
- Madu asli akan menyebabkan kuning telur masak dengan sendirinya. Cara ini seumpama lagenda kerana tidak ramai yang berjaya menggunakannya, walaupun dengan madu asli. Ini kerana hanya madu yang benar-benar segar mengandungi enzim-enzim aktif yang ‘memasak’ kuning telur. Sekiranya anda mendapat madu yang boleh ‘memasak’ kuning telur, madu tersebut adalah benar-benar berkualiti dan segar!
- Madu asli mempunyai komposisi gula tertentu. Cara yang paling tepat untuk membezakan madu asli dan palsu adalah dengan menjalankan ujian makmal. Madu asli dan tulen mempunyai nisbah komposisi glukosa dan fruktosa antara 0.30 – 1.35 sahaja. Madu palsu sukar untuk menyamai nisbah ini.